Bacaan Kanak-Kanak: Tik Tok Tik Tok! Banyaknya Kerja Sekolah!

  Kategori: E-Buku / Digital - Blog

Tajuk: Tik Tok Tik Tok! Banyaknya Kerja Sekolah!

Mukasurat: 7

Penulis: Syazni Rahim

Penerbit: Nursyazni e-Book Pub (967-26621)

Tahun: 2025




    “Alamak! Aku lupa buat kerja sekolah!” bisik Akilah sambil menepuk dahi. Hari Isnin pagi itu, langit Kajang cerah membiru, tapi hati Akilah berawan mendung.

    Cikgu Bad baru saja masuk ke kelas 5 Jujur sambil membawa fail merah. Semua murid sudah tahu, dalam fail itu Cikgu Bad simpan senarai nama murid dan semua kerja sekolah.

    Cikgu Bad tak mungkin lupa untuk kutip semua tugas yang diberi minggu lalu.

    Akilah terus pandang kawan-kawan. Niza gelisah, Sakinah gigit pensel biru, dan Hafizam buat-buat cari pemadam dalam bekas pensel. Masing-masing tahu, kerja karangan Bahasa Melayu minggu lepas belum siap.

    Kawan-kawan Akilah memang begitu. Jika Akilah tidak ingatkan, mereka juga lalai. Rakan-rakan sekelas yang lain, semua sudah ke hadapan untuk menghantar kerja sekolah mereka. Bersusun kemas semuanya di atas meja guru.

    “Rasa macam tak cukup empat. Siapa lagi tak hantar kerja, sila berdiri,” kata Cikgu Bad selepas sudah mengira susunan buku latihan yang dihantar. Suara Cikgu Bad masih tenang tapi tegas.

    Dengan perlahan, Akilah, Niza, Sakinah, dan Hafizam pun berdiri. Ada rasa bersalah dalam hati mereka. Tapi bagi Akilah, rasa itu berganda. Sebab minggu lepas dia sangat sibuk. Dia hadiri kelas silat pada hari Isnin dan Rabu, kelas piano pada hari Khamis, latihan bola jaring pada hari Jumaat, dan kelab robotik pada hari Sabtu.

    Cikgu Bad menggeleng perlahan. 

    “Saya tahu kamu semua murid sekolah ini yang aktif, tapi itu bukan alasan. Hari ini, kamu kena duduk di luar kelas dan siapkan kerja karangan kamu ini. Kalau tak siap hari ini, kamu tak boleh hadir mana-mana aktiviti minggu ini. Saya sendiri akan beritahu semua guru penasihat!”

    Mata Akilah terus berkaca. Dia suka semua aktiviti yang dia sertai. Tapi dia juga tahu, dia tak boleh terus lalai buat kerja sekolah. Kerja sekolah lebih penting dan utama.

    Selepas habis denda dan siap kerja, Akilah lap peluh di dahi dan termenung di meja. Dia buka buku nota kecil berwarna ungu dan mula menconteng satu pelan.


    “Isnin malam: 30 minit buat latihan. Selasa: ulang kaji. Rabu: baca nota ringkas sebelum tidur…”


    Setibanya di rumah, dia buat jadual mingguan sendiri, penuh warna dan pelekat comel. Setiap hari ada ruang untuk belajar dan aktiviti.

    "Yang penting, kena ada masa untuk siapkan kerja sekolah!" bisik hati Akilah.

    Hari demi hari, Akilah mula ikut jadual baru itu. Walaupun letih, dia seronok sebab semua telah seimbang. Setiap kali ada masa lapang, dia akan semak tugasan dan siapkan awal-awal. 

    Dia tak perlu tinggalkan aktiviti silat, kelas piano, latihan bola jaring atau perjumpaan kelab robotik. Dia hanya perlu pandai susun masa.

    Seminggu kemudian, Cikgu Bad panggil nama Akilah di depan kelas.

    “Akilah, karangan kamu minggu ini sangat baik. Saya nampak perubahan besar. Teruskan ya! Niza, Sakinah dan Hafizam juga sudah bertambah baik dari sebelum ini.”

    Akilah senyum sampai telinga. Niza dan Sakinah dan Hafizam tepuk tangan kecil-kecilan. Mereka semua kagum dan saling menepuk bahu masing-masing. Dan paling penting, mereka kini lebih teratur dan bijak membuat keputusan.

    Balik dari sekolah, mereka berempat singgah membeli aiskrim sebagai penghargaan ke atas pencapaian sendiri.


Pengajaran:
Kita tak perlu berhenti buat benda yang kita suka. Kalau kita bijak urus masa, kita boleh jadi pelajar hebat dan seronok pada masa yang sama!

Catat Ulasan

0 Ulasan