Kategori: E-Buku / Digital - Blog
“Wah! Besarnya kereta kebal!” jerit Tarek sambil berlari ke arah kenderaan hijau yang dipamerkan di luar Muzium Tentera Darat, Port Dickson.
Hari itu, murid-murid Tahun 3 Sekolah Kebangsaan Seri Damai datang melawat muzium. Tarek, Hafiz, Farah, dan Vivy tidak sabar hendak melihat semua pameran.
“Jangan lari, Tarek! Nanti terjatuh!” tegur Cikgu Alia, guru pengiring mereka.
Tarek cepat-cepat berhenti. Tapi matanya tetap bersinar melihat segala yang ada seperti jet pejuang lama, meriam besar, dan baju askar zaman dahulu. Mereka disambut oleh Kapten Abu, seorang pegawai tentera yang tinggi, tegap dan sangat peramah.
“Selamat datang, adik-adik! Hari ini saya akan jadi pemandu pelancong khas kamu!” kata Kapten Abu sambil tersenyum.
Sepanjang lawatan, Kapten Abu bercerita tentang tugas-tugas tentera, kisah perwira negara, dan bagaimana askar membantu semasa bencana.
“Waktu banjir besar tahun lepas, saya dan rakan-rakan tentera menyelamatkan ramai orang yang terperangkap,” cerita Kapten Abu.
"Oh! Bukan hari-hari ya tentera tembak orang jahat?" tanya Vivy.
"Ya, Vivy. Tugas tentera, lebih dari sekadar menembak orang jahat," balas Kapten Abu, tersenyum penuh kasih.
Tarek sangat kagum. Dia bayangkan dirinya memakai baju celoreng, naik helikopter, dan membantu orang ramai dalam kesusahan.
"Kapten, saya nak jadi tentera apabila besar nanti. Saya nak jadi seperti Kapten!" jerit Tarek sambil tersenyum.
Tiba-tiba, Hafiz bersuara, “Tarek, kau takut gelap, takut labah-labah, mana boleh jadi askar!”
Tarek rasa sedih. Tapi Farah cepat-cepat menyokong, “Biarlah, Hafiz. Bukankah bagus apabila kawan kita ada cita-cita?”
Kapten Abu mengangguk. “Betul. Saya pun takut masa mula-mula masuk tentera. Tapi saya tak pernah berhenti mencuba untuk jadi berani.”
Tarek tersenyum. Sebelum pulang, dia berdiri lama di depan papan tanda yang bertulis “Perwira Negara”. Dia genggam erat buku kecil nota yang diberi Kapten Abu. Di muka belakangnya, tertulis,
"Jadilah wira!"
Pengajaran:
Keberanian bukan bermakna tidak takut. Ia bermakna tetap mencuba walaupun rasa takut itu ada.
0 Ulasan
Terima kasih atas kesudian membaca blog ini.
Dilarang mengambil isi blog ini untuk kepentingan peribadi, kerana isi blog ini adalah percuma dan segala fiksyen di sini adalah hak cipta penulis.