Bacaan Kanak-Kanak: Sara Nak Jadi Chef

 Kategori: E-Buku / Digital - Blog

Tajuk: Sara Nak Jadi Chef

Mukasurat: 6

Penulis: Syazni Rahim

Penerbit: Nursyazni e-Book Pub (967-26621)

Tahun: 2025




    Sara suka betul bau tumisan bawang. Setiap kali Mak Jiji masak, dia akan berdiri di atas bangku kecil warna biru, memerhati dari hujung dapur.

    "Mak! Nanti kalau besar, Sara nak jadi chef. Pakai topi tinggi macam dalam TV tu!" katanya sambil buat gaya chef.

    Mak Jiji tergelak. "Chef pun kena pandai kemas dapur tau. Nak cuba masak hari ni?"

    Mata Sara bersinar. "Nak! Nak!"

    Hari itu, Sara pilih untuk masak nasi goreng. Tapi bukan nasi goreng biasa. Dia nak buat nasi goreng warna-warni! Ada lobak merah, kacang panjang, jagung, dan telur hancur.

    Sara jemput kawan-kawannya seperti Hafiza, Farahin, dan Victor datang makan tengah hari di rumah hari ini.

    “Eh, warna nasi ni macam nasi kotak pensil warnalah!” kata Farahin.

    “Tapi bau dia yang paling saya suka. Harum dan buat saya lapar,” bisik Victor.

    Semua ambil suapan pertama. Muka Hafiza berkerut. Farahin cepat-cepat minum air. Victor terbatuk kecil.

    “Sara, kenapa… nasi goreng awak ini... masin sangat,” kata Hafiza, perlahan. Farahin dan Victor juga angguk.

    Sara tunduk. Wajahnya merah, bukan kerana nasi itu pedas. Tapi sebab hati Sara sedih.

    Mak Jiji tepuk bahu Sara. “Chef yang hebat pun pernah salah masukkan garam. Tapi mereka tak berhenti belajar.”

    "Betul, Sara. Lepas ini, awak boleh cuba sekali lagi. Kami bertiga yakin awak pasti boleh!" pujuk Farahin.

    "Baik. Nanti saya cuba lagi esok," jawab Sara.

    Malam itu, Sara ikut serta tonton rancangan memasak bersama Mak Jiji, sambil pegang buku resepinya. Dia salin semula resepi yang dipelajari, kali ini dengan catatan, “Garam jangan lebih satu sudu kecil!”

    Mak Jiji turut memberi Sara beberapa lagi petua untuk memasak agar sedap dan sihat. Esoknya, Sara mahu masak lagi. Hafiza, Farahin dan Victor, turut diajak sama.

    Dan kali ini… semua kawan-kawan Sara makan bertambah!

    “Nasi goreng ni macam yang di restoran!” kata Victor.

    “Sara, awak memang berbakat, sudah macam chef betul!” ujar Farahin. Hafiza tidak dapat berkata apa-apa kerana mulutnya penuh dengan nasi goreng.

    Sara tersenyum bangga. “Tunggulah, sekejap lagi saya mahu buat kek coklat pula, mesti lagi sedap!”

    Sara amat gembira kerana usahanya memasak di dapur telah membuahkan hasil.

    

Pengajaran:


Kalau kita gagal, jangan berhenti. Cuba lagi, belajar dari kesilapan, dan terus kejar impian kita!


Catat Ulasan

0 Ulasan