Bacaan Remaja / Kanak-Kanak Tahap 2
Tahun: 2025
Hari
ini emak terlewat menjemput aku di sekolah. Agak lama aku menanti di bawah
pondok menunggu ini. Mujur aku tidak keseorangan, ada beberapa orang
kanak-kanak yang senasib dengan aku turut sama-sama sugul memikul beg sekolah
masing-masing. Mata aku tidak jemu memandang pada sekumpulan abang-abang darjah
lima dan enam yang sedang melakukan senaman ringan pemanasan badan di tepi
padang sekolah.
Mereka
cukup terkenal di sekolah ini kerana mereka adalah pasukan bola sepak yang
mewakili sekolah kami. Warna ungu dan kuning yang menjadi corak jersi yang
dipakai mereka turut menambah kesegakkan mereka semua. Jauh di sudut hati, aku
juga teringin untuk menyertai pasukan bola sepak itu. Tetapi, usahkan menyepak
bola, membaling bola yang terkeluar dari padang pun aku tidak pandai.
Semua
itu kerana tiada siapa yang boleh memberikan tunjuk ajar tentang selok-belok
bermain bola sepak dengan betul kerana aku adalah seorang budak yang tidak
berayah. Ayah aku telah pergi menghadap Ilahi sejak aku berumur dua tahun
akibat kemalangan di tempat kerjanya. Semenjak dari itu, tinggallah aku berdua
bersama emak yang sudah semestinya tidak tahu untuk mengajar aku bermain bola
sepak seperti abang-abang itu.
“Beto!” kedengaran emak melaungkan namaku dari pintu kereta. Betapa ralitnya aku
sehingga tidak sedar yang emak sudahpun sampai. Lalu aku pergi mendapatkan emak
untuk pulang ke rumah. Ketika aku membuka pintu kereta bahagian penumpang
hadapan, aku perasan tempat duduk aku itu sudah diduduki oleh seorang lelaki
muda, mungkin sebaya emak.
Aku
tidak pernah melihat dia sebelum ini. Kelihatan dia tersenyum manis pada aku,
namun aku kaget dan tidak tahun untuk memberikan tindakbalas yang sepatutnya.
“Beto
apa khabar? Nama pakcik Zain. Beto boleh panggil pakcik Papa Zain,” terang
lelaki itu sebaik sahaja aku masuk ke dalam kereta. Aku berkerut kening kerana
hairan. Aku tidak mengerti, tapi aku boleh lihat emak turut mengangguk dan
mengiakan kata-kata lelaki yang aku harus gelar Papa Zain ini.
***
Pada
petang semalam, ada ramai orang datang ke rumah membawa hadiah kepada emak. Aku
juga ada melihat emak memakai pakaian yang sangat cantik dan berkilat-kilat,
wajah emak juga tampak lebih berseri. Emak mengenakan gincu berwarna merah
terang, matanya juga bercelak tebal. Senyuman tidak lekang dari mulut emak.
Dalam
ramai-ramai orang yang datang ke rumah, lelaki yang bernama Zain itu pun ada
bersama. Dia memakai baju melayu berwarna putih dan bersamping hitam yang
cantik sekali coraknya. Nenek mengajak aku untuk duduk bersama nenek dan emak, bersama-sama
dengan orang lain di tengah ruang tamu rumah kami.
Ada
seorang lelaki tua yang paling banyak bercakap di situ. Aku tidak faham pun apa
lelaki tua yang memakai kot berwarna hitam itu katakan. Sesekali aku lihat emak
menyapu airmatanya dengan tisu. Selepas Papa Zain bersalam dengan lelaki tua
itu, kedengaran semua orang gembira dan mula membaca doa.
Sejujurnya,
aku masih tidak tahu apa yang terjadi, dan yang paling membuatkan aku sedih,
malam itu aku tidak boleh tidur bersama emak kerana Papa Zain akan menjaga emak
mulai hari ini kata nenekku.
***
Pagi
keesokkan harinya, aku merajuk dengan emak kerana membiarkan aku tidur bersama
nenek. Aku tidak mahu bersarapan pagi bersama-sama mereka semua. Aku keluar ke
halaman rumah dan duduk menangis di atas buaian besi berwarna perang ini.
Hatiku sedih kerana terasa seperti dipinggirkan oleh emak.
“Assalamualaikum
Beto, boleh Papa Zain duduk bersama-sama?” tegur Papa Zain yang sedang berdiri
memandang aku. Aku tidak rasa mahu menjawab salam itu kerana aku masih berkecil
hati, tetapi Papa Zain terus sahaja duduk di sebelah aku.
Bahu
aku dipegang mesra sambil tersenyum. “Boleh Papa Zain tanya, kenapa nama anak
Papa Zain ini Beto?” dia menyoalku.
“Emak
kata, arwah ayah dahulu terlalu meminati seorang seniman tanah air yang bernama
Beto Khusyairi,” jawabku ringkas berdasarkan jawapan yang emak pernah berikan
sewaktu aku bertanya soalan yang sama dahulu.
Aku
mendengar Papa Zain ketawa kecil sambil berkata “Papa Zain pun minat juga pada
seniman itu, sedap nama Beto”. Aku masih diam seribu bahasa.
“Emak
ada beritahu Papa Zain, Beto hendak menyertai pasukan bola sepak di sekolah
Beto ya?” soalan Papa Zain itu membuatkan aku terkejut. Aku anggukkan kepala
untuk mengeyakan.
“Kalau
Beto hendak tahu, dulu Papa Zain adalah salah seorang ahli pasukan bola sepak
di sekolah juga, Papa Zain boleh ajarkan Beto cara-cara bermain bola sepak
dengan betul, bolehlah Beto sertai pemilihan ahli pasukan baharu yang akan
diadakan hujung tahun nanti” tutur lembut Papa Zain kepada aku sambil
mengukirkan senyuman. Hatiku berbunga-bunga riang.
***
Semenjak
dari hari itu, Papa Zain akan membawa aku ke padang di sebelah balairaya
kampung untuk berlatih bermain bola sepak. Aku sangat teruja dengan semua itu,
kerana aku tidak pernah merasakan perasan gembira seperti ini. Papa Zain juga
ada membelikan aku sebiji bola sepak yang baharu beserta sepasang kasut bola
yang cantik sekali.
Papa
Zain memberitahuku, ada beberapa kemahiran yang aku perlu kuasai sekiranya aku
benar-benar serius mahu menjadi pemain bola sepak untuk sekolahku.
Kemahiran-kemahiran itu adalah seperti menendang, menyerkap, menggelecek,
memberi hantaran, menanduk dan juga mempertahankan gawang gol.
Ada
beberapa jenis tendangan yang berlainan yang telah Papa Zain ajarkan kepada aku
hari ini, seperti tendangan leret, tendangan lambung dan juga tendangan voli.
Papa Zain juga ada menunjukkan cara dia menggelecek dan menanduk bola. Aku
sangat kagum melihat kebolehan Papa Zain melakukan semua itu, dan Papa Zain
pula tidak jemu memberikan aku tunjuk ajar.
“Esok
Papa Zain akan ajar Beto cara-cara melakukan hantaran silang, hantaran ke
hadapan serta hantaran ke sisi pula,” kata Papa Zain sewaktu kami menaiki
kereta untuk pulang ke rumah kerana hari sudah menjelang senja. Pada waktu
malam, Papa Zain akan mengajar aku membaca Al-Quran pula, jadi aku sudah tidak
perlu lagi untuk pergi berguru mengaji di rumah Tok Esah.
***
Hari
yang dinanti-nanti telah pun tiba. Hari ini akan diadakan sesi pemilihan ahli
pasukan bola sepak sekolah bagi menggantikan pelajar darjah enam yang akan
menamatkan persekolahan tahap rendah mereka tidak lama lagi. Pagi-pagi lagi
Papa Zain telah mengejutkan aku untuk bangun dan bersiap-sedia.
Selepas
aku siap mandi, emak memberikan aku sehelai baju jersi pasukan Liga Inggeris
kegemaran Papa Zain yang bersaiz kanak-kanak. Aku sangat gembira menyarungkan
baju jersi yang sangat selesa itu. Kata emak lagi, baju jersi ini Papa Zain
belikan khusus untuk aku pakai ke sesi pemilihan itu nanti. Riang dia hatiku
bukan kepalang lagi. Sesudah bersarapan, kami bertiga segera menuju ke sekolah
bersama-sama.
Sesampainya
kami di sana, aku lihat terdapat ramai kanak-kanak lelaki lain yang mahu turut
mencuba nasib mereka. Mereka semua kelihatan begitu tegap dan penuh keyakinan.
Pemandangan itu sedikit sebanyak membuatkan aku takut dan gugup. Aku
membisikkan kepada emak yang aku mahu pulang ke rumah kerana aku tidak yakin
yang aku boleh terpilih.
Papa
Zain memegang bahu aku sambil tersenyum tenang. Peluh yang membasahi dahi aku,
Papa Zain lapkan dengan sapu tangan miliknya.
“Beto,
cuba bayangkan nanti Beto akan ada sehelai jersi rasmi pasukan sekolah, yang di
belakangnya tertulis B.E.T.O beserta nombor kesukaan Beto. Beto mahu letak
nombor berapa di baju jersi Beto nanti?” Papa Zain mengangkat-angkat keningnya
sambil memandang aku.
“26”,
jawabku penuh semangat sebelum menarik tangan emak ke meja pendaftaran.
***
Cuaca
yang panas terik tidak mematahkan semangat aku dan peserta-peserta lain. Semua
berusaha keras menunjukkan kemahiran dan teknik-teknik bermain bola sepak
kepada para jurulatih yang membuat penilaian untuk kelayakan.
Sesekali
aku memandang ke arah emak dan Papa Zain yang setia menanti di tepi padang
sekolah yang memberi sokongan kepada aku. Setiap kali bertentang mata, emak dan
Papa Zain akan memberikan aku tepukan semangat.
Sesi
pemilihan itu berlangsung sehingga tengahari. Selepas sesi rehat ini, nama
peserta yang terpilih akan diumumkan. Kami dimaklumkan bahawa terdapat hampir
sembilan puluh orang kanak-kanak lelaki darjah tiga sehingga darjah lima yang
mendaftar pagi tadi.
Tetapi,
hanya lima orang sahaja yang akan dipilih. Ketika ini, hatiku berasa gusar dan
takut sekali.Seketika kemudian, aku nampak Cikgu Arufin mula berjalan ke tiang
mikrofon yang dipasang di tepi padang. Ditangannya ada sekeping kertas.
“Nama
yang saya sebutkan dikira layak untuk menyertai pasukan bola sepak sekolah, dan
diminta untuk tampil ke hadapan”, kata Cikgu Arufin yang mula memanggil
nama-nama pelajar yang layak.
“Adam
Zuhairi,” aku bertambah gelisah ketika melihat pelajar itu berjalan dengan
riang dan berdiri di hadapan Cikgu Arufin yang masih meneruskan pengumumannya,
“Khalis Affendi. Sugu anak lelaki Mariappa. Wong Wei Sin,” dan tanpa diduga,
kertas yang dipegang oleh Cikgu Arufin terlepas dan jatuh ke tanah sebelum
sempat menyebut nama yang kelima.
Hatiku
berdegup deras sekali ketika melihat Cikgu Arufin membongkok untuk mengutip
kembali kertas itu.
“Dan
yang terakhir, pelajar yang layak untuk menyertai pasukan bola sepak sekolah
kerana memiliki markah penilaian yang tertinggi pada hari ini adalah Beto
Baihaqi,” serentak dengan itu, bergema kawasan padang sekolah dengan tepukan
yang sangat gemuruh sambil memandang kepada aku yang segan-segan berjalan ke
hadapan untuk berbaris bersama empat lagi pelajar yang layak tadi.
Aku
tersenyum riang memandang ke arah emak dan Papa Zain yang masih belum berhenti
bertepuk tangan.
***
Hari
ini adalah kali pertama aku bersama-sama dengan ahli pasukan bola sepak yang
lain datang ke sekolah di daerah bersebelahan untuk mewakili sekolah kami dalam
perlawanan bola sepak kalah mati. Jersi yang tertera namaku BETO di bahagian
belakang kusarung dengan penuh bangga.
Aku
sudahpun berlatih bersungguh-sungguh di sekolah, dan selepas pulang dari
sekolah, aku dan Papa Zain masih meneruskan rutin latihan kami, lebih-lebih
lagi selepas aku beritahu yang aku akan menyertai pertandingan ini kepadanya.
Selain
itu, Papa Zain juga selalu menunjukkan kepada aku video-video aksi permainan
bola sepak oleh pemain bertaraf professional dan antarabangsa untuk memberikan
aku semangat.
Ketika
ini, perlawanan akhir yang masih berbaki kurang dari lima minit amat
mendebarkan. Atas kerjasama berpasukan yang baik, pasukan sekolah aku berjaya
untuk sampai ke pusingan akhir ini. Namun, keputusan semasa yang seri satu sama
ini sungguh mencemaskan. Jika kami cuai sedikit sahaja, pasukan lawan akan
menjaringkan gol sekaligus menewaskan pasukan kami.
Aku
ternampak Papa Zain berlari-lari anak di tepi padang sambil memberikan aku
tepukan semangat agar meneruskan perjuangan. Melihat Papa Zain yang tidak
pernah penat memberi sokongan, aku menjadi tekad untuk memenangi perlawanan
ini. Berbekalkan teknik dan ajaran dari Cikgu Arufin dan Papa Zain, aku berlari
ke arah Adam Zuhairi yang sedang membawa bola.
Seperti
faham apa yang ada difikiran aku, Adam Zuhairi membuat hantaran leret. Aku yang
telah pun bersedia berdiri menghala ke arah bola yang datang, menggerakkan kaki
kananku untuk menyerkap bola itu sambil mencondongkan badan sedikit agar
seimbang.
Sejurus
berjaya menyerkap bola, aku menggelecek bola beberapa ketika sebelum menendang
dengan cermat tetapi kuat ke arah gawang gol. Gegak-gempita seluruh manusia
yang ada di padang apabila bola yang aku sepak menyebabkan jaring gol
bergeduyut menerima terjahan bola.
Rakan-rakan
sepasukan datang memeluk aku sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan oleh
pengadil. Aku terus teringat kepada Papa Zain yang telah banyak berjasa
membantu aku menjadi pemain bola sepak yang berjaya seperti hari ini, lantas
aku terus berlari mendapatkan dia yang masih tidak jemu bertepuk tangan di tepi
padang.
Aku
peluk Papa Zain erat-erat, dia menjulang tubuh aku ke atas. Aku tahu dia sangat
bangga dengan aku ketika ini walaupun dia cuma ayah tiriku. Namun bagi aku, dialah
satu-satunya ayah yang aku ada dan kasihi.
Terima
kasih Tuhan kerana menganugerahkan aku dan emak seorang lelaki yang baik dan
penuh tanggungjawab seperti Papa Zain!
0 Ulasan
Terima kasih atas kesudian membaca blog ini.
Dilarang mengambil isi blog ini untuk kepentingan peribadi, kerana isi blog ini adalah percuma dan segala fiksyen di sini adalah hak cipta penulis.