Bacaan Kanak-Kanak: Cermin Mata Hijau Fina

 Kategori: E-Buku / Digital - Blog

Tajuk: Cermin Mata Hijau Fina

Mukasurat: 8

Penulis: Syazni Rahim

Penerbit: Nursyazni e-Book Pub (967-26621)

Tahun: 2025






    Pagi itu, matahari bersinar terang di Kampung Bayu. Ayam berkokok riang, dan burung-burung berkicau sambil terbang di langit biru. Fina berdiri di depan cermin, membetulkan cermin mata hijau di muka. Bingkai hijau itu memang nampak pelik sedikit, tetapi Fina sayang.

    "Nenek yang bagi masa saya darjah satu dulu..." bisik Fina perlahan, senyum sendiri.

    Fina kini murid tahun tiga di Sekolah Kebangsaan Bayu Ceria. Dia suka membaca, suka belajar sains dan suka duduk di barisan hadapan. Tapi oleh sebab Fina pakai cermin mata hijau itu, Budin, budak lelaki paling nakal dalam kelas selalu ejek Fina.

    "Fina mata empat! Fina katak mata hijau!" Budin gelak kuat setiap kali nampak Fina masuk ke kelas.

    Kadang-kadang, kawan-kawan lain seperti Kira, Laili dan Saleha cuba memujuk Fina. Tapi ejekan Budin tetap membuatkan hati Fina sedih.

    Hari Rabu pun tiba, Fina yang terlambat sedikit, berlari menaiki tangga menuju kelas. Dia pegang buku rujukan sains, seronok nak tunjuk kerja sekolah pada Cikgu Zizi. Tapi tiba-tiba, Budin muncul.

    "Eh, katak nak terbang jadi burung ke?" jerkah Budin sambil tolak-tolak bahu Fina dari belakang.

    Fina diam, tapi Budin tetap nakal dan menolak Fina lagi.

   Fina pun hilang imbangan dan… BUKK! 

   Dia jatuh tergolek ke tangga bawah. Buku habis berselerak. Cermin mata hijau Fina terpelanting dan terpatah dua!

    “Fina!” jerit Saleha. Kira dan Laili segera datang membantu.

    Cikgu Zizi yang baru keluar dari bilik guru terkejut melihat kejadian itu, "Kenapa dengan Fina?"

    "Budin tolak, Cikgu Zizi. Fina jatuh dan terduduk atas cermin mata dia sendiri," kata Kira.

    “Budin! Ke sini sekarang juga! Ikut saya ke pejabat Guru Besar!” jerit Cikgu Zizi yang menjadi marah.

    Fina menangis. Air mata tak berhenti meleleh. Dia peluk cermin mata yang patah itu sambil tersedu.

    “Kenapa awak menangis sangat? Hanya cermin mata murah saja!” kata Budin keras kepala, masih tidak rasa bersalah.

    Dengan suara tersekat-sekat, Fina menjawab, “Cermin mata ni… nenek saya yang bagi. Dulu, masa saya takut nak masuk sekolah sebab saya rabun, nenek temankan saya beli cermin mata ni. Dia pilihkan warna hijau sebab itu warna kesukaan nenek. Tapi... nenek dah tak ada. Dia dah meninggal dunia tahun lepas…”

   Seluruh bilik senyap. 

   Cikgu Zizi dan Guru Besar saling berpandangan. Budin tergamam. Mukanya berubah. Dia pandang cermin mata patah itu. Dia pandang Fina. Hati mula terasa berat.

    Petang itu, Fina terdengar bunyi motor berhenti di hadapan rumahnya. Budin datang bersama ibu bapanya.

    “Assalamualaikum, Fina. Maafkan Budin ya,” kata ibu Budin sambil memegang bungkusan kecil.

    Budin menunduk. 

    “Saya betul-betul minta maaf, Fina. Saya dah bawa cermin mata ni ke kedai dan suruh tukang cermin mata betulkan. Saya janji, saya tak akan ejek awak lagi. Boleh kita jadi kawan?”

    Fina terkejut. Perlahan-lahan, dia senyum. “Boleh.”

    Sejak hari itu, Budin tak lagi ejek Fina. Malah, dia duduk sebelah Fina dan tolong dia buat ekerja sekolah sains. Mereka bersahabat baik dengan ikhlas dan semangat setiakawan.


Pengajaran: 

Jangan membuli orang lain kerana kita tidak tahu kisah di sebalik sesuatu. Hargailah perasaan orang lain dan belajarlah meminta maaf dengan ikhlas.

Catat Ulasan

0 Ulasan