Bacaan Kanak-Kanak: Misteri Kem Motivasi

 Kategori: E-Buku / Digital - Blog

Tajuk: Misteri Kem Motivasi

Mukasurat: 6

Penulis: Syazni Rahim

Penerbit: Nursyazni e-Book Pub (967-26621)

Tahun: 2025




    "Siapa yang habiskan buah ciku saya?!" jerit John pagi itu sambil memegang plastik kosong.

    Kadir, Zima dan Dani terus keluar dari khemah mereka. Semua terdiam. Semalam, John simpan buah ciku dalam beg untuk dimakan pada waktu pagi. Tapi kini, sudah habis licin!


    "Hai… ini mesti kerja mereka yang lapar waktu malam-malam," kata Zima.

    “Mana ada orang keluar malam tadi. Gelap dan seram, tahu? Lagi pun, sehari suntuk kita telah mendengar ceramah motivasi, tak ada siapa yang larat untuk berjaga lama,” jawab Dani sambil menepuk bahu Zima.

    Kem Motivasi di Hutan Rekreasi Danau Hijau memang menyeronokkan, tetapi malamnya sunyi dan sejuk. Hanya ada bunyi haiwan dan serangga.

    Cikgu Ain yang baru selesai bersiap pun dipanggil. John menceritakan semua pada Cikgu Ain yang manis berbaju merah jambu.

    "Baiklah," katanya tenang, "Kalau kamu rasa ini misteri, mari kita siasat sama-sama!"

    Semua bersetuju dengan Cikgu Ain dan yakin dapat selesaikan misteri itu.

    Kadir pun cadang untuk pasang perangkap kamera menggunakan telefon yang diikat pada dahan pokok, menghala ke arah khemah mereka.

    “Malam ni kita tunggu dan lihat siapa ‘penjenayah’ sebenar,” bisik Kadir dengan penuh yakin. Kawan-kawan pun sama setuju.

    Malam pun tiba lagi. Aktiviti di tepi sungai hari ini memang memenatkan, tapi Kadir dan rakan-rakan tidak lupa rancangan mereka.

    Semua berbaring dalam khemah tetapi Kadir tak tidur. Dia selalu bangun dan intai dari celah zip khemah. Tiba-tiba... Ada bunyi ranting patah.

    Kadir terkejut dan terduduk sambil menutup mulut. Tapi, dia memberanikan diri untuk terus melihat dari mana datang bunyi itu.

    Ada bayang-bayang hitam yang bergerak-gerak berdekatan plastik buah ciku yang mereka jadikan umpan seperti cadangan Cikgu Ain. Dahi Kadir mula berpeluh. Badan mula menggigil.

    Tapi, Kadir tahu dia harus berani!

    Tiba-tiba, seekor musang comel muncul dari dalam beg John. Musang itu terus menggigit dan menjilat buah-buah ciku yang ada.

    Kadir tersenyum dan kembali ke tempat tidur. Lega kerana pelakunya telah dia ketahui.

    Keesokan paginya, semua murid harus berkumpul untuk berkawad. Tetapi, Kadir dan rakan-rakan sibuk melihat skrin telefon bimbit.

    “Musang!” jerit Zima sambil melihat rakaman video di telefon.

    “Patutlah habis! Dia suka ciku!” kata Dani sambil ketawa.

    Cikgu Ain tersenyum. “Inilah alam semula jadi. Kita kena belajar berkongsi dengan haiwan juga. Kalau tak nak kongsi, lain kali kena simpan elok-elok supaya haiwan tak curi. Mereka tak ada akal fikiran seperti manusia.”

    Selepas itu, mereka belajar menyimpan makanan dalam bekas yang selamat. Mereka juga meletak beberapa biji ciku atas batu untuk musang itu, sebagai hadiah.

    Selain motivasi untuk terus majukan diri, mereka juga telah mendapat ilmu baharu tentang hidup secara harmoni bersama haiwan hutan.

Pengajaran: Kita perlu peka terhadap alam sekitar dan belajar berkongsi dengan makhluk lain dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab. Selain itu, kita juga jangan cepat membuat kesimpulan tanpa menyiasat perkara yang sebenar.

Catat Ulasan

0 Ulasan