Kategori: E-Buku / Digital - Blog
Pada suatu pagi yang cerah di Kota Raya, Nini duduk gelisah di ruang tamu. Dia memegang bantal kecil berbentuk kucing sambil merengek perlahan.
"Aduh. Sakitlah bisul ini…" keluh Nini sambil menggigit hujung bantalnya.
"Nini kena jumpa doktor," kata Mama.
"Tak nak!" jerit Nini. "Nanti doktor cucuk! Sakit!"
Mama tersenyum. "Doktor Ika baik orangnya. Klinik dia pun cantik, warna merah jambu. Macam bilik Nini."
Nini terdiam.
Merah jambu? Itu warna kegemarannya! Tapi… doktor tetap orang yang menakutkan!
Akhirnya, Mama memujuk Nini dan berjanji akan belikan satu aiskrim coklat jika dia berani pergi ke klinik.
"Baik, Mama," Nini setuju walaupun masih takut.
Setibanya di Klinik Doktor Ika, mata Nini terbeliak.
Dindingnya dihiasi lukisan kuda, awan comel, dan belon merah jambu. Kerusi pun berbentuk donut merah jambu.
“Wahhh... macam dalam mimpi!” kata Nini, bagai lupa tentang sakitnya.
Seorang jururawat manis datang menegur. “Hai, Nini! Jom masuk bilik rawatan. Doktor Ika dah tunggu.”
Dengan langkah perlahan, Nini ikut masuk. Doktor Ika senyum lebar memandang gadis kecil itu. “Hai Nini! Boleh Doktor tengok bisul sikit?”
Nini angguk. Dia menggenggam tangan Mama. Tapi, tak sangka, Doktor Ika hanya sapu ubat sejuk dan tampal pelekat comel bergambar arnab.
“Dah siap!” kata Doktor Ika.
“Eh? Tak sakit pun?” Nini tercengang.
"Mestilah, Nini kan kuat. Balik nanti, jangan lupa makan ubat ya," kata Doktor Ika.
Satu minggu kemudian, bisul Nini pun hilang. Dia kembali aktif bermain tanpa rasa sakit lagi.
“Apa pengajaran cerita ini?” tanya Mama.
Nini senyum. “Jangan takut jumpa doktor. Doktor tak menakutkan pun! Malah, doktor akan bantu kita sihat semula!”
Mama angguk dan memeluk Nini. Ketika itu, Nini belajar satu perkara penting, menjadi doktor adalah pekerjaan yang mulia dan berjasa.
Nini berjanji, tidak akan anggap doktor sebagai orang yang menakutkan lagi.
Pengajaran: Berani jumpa doktor itu penting, sebab doktor nak bantu kita jadi sihat dan gembira semula.
0 Ulasan
Terima kasih atas kesudian membaca blog ini.
Dilarang mengambil isi blog ini untuk kepentingan peribadi, kerana isi blog ini adalah percuma dan segala fiksyen di sini adalah hak cipta penulis.