Bacaan Remaja / Kanak-Kanak Tahap 2: Misteri Aroma Kopi Itu

 Kategori: E-Buku / Digital - Blog


Tajuk: Misteri Aroma Kopi Itu
Mukasurat: 9
Penulis: Nursyazni Abdul Rahim

Penerbit: Nursyazni e-Book Pub (967-26621)
Tahun: 2026




Pagi itu, Sekolah Kebangsaan Seri Melur disapa semilir angin yang cukup mendamaikan. Sang suria mula menampakkan diri, menyapu dedaun hijau dengan sinarnya yang keemasan. Loceng pertama berbunyi, memecah kesunyian pagi, diikuti derap langkah kaki-kaki kecil yang berlari penuh semangat menuju ke gedung ilmu.

Namun, di satu sudut bangunan yang agak terpencil, di situlah terletaknya 'syurga' buat tiga sekawan. Makmal sains. Ruang yang dipenuhi botol-botol kimia dan tabung uji itu bukan sekadar bilik darjah bagi Hana, Amir, dan Aina. Ia adalah saksi bisu kepada keakraban mereka. Mereka bukan sahaja dikenali kerana kebijaksanaan, tetapi kerana naluri ingin tahu yang sering kali membawa mereka ke kancah misteri.

"AHHHHH!"

Satu jeritan yang sarat dengan nada cemas membelah keasyikan Hana yang sedang tekun menyusun tabung uji. Amir yang sedang memegang kanta pembesar hampir sahaja terlepas genggamannya, manakala Aina pula tersentak sehingga pen penanda di tangannya tergelincir, meninggalkan coretan biru di atas kertas.

"Suara Cikgu Farid... kenapa pula tu?" bisik Hana, hatinya mula dijentik rasa kurang enak.

Tanpa membuang masa, mereka berlari menuju ke bilik guru. Di sana, suasana agak kecoh. Beberapa orang guru berkumpul mengelilingi meja Cikgu Farid. Di atas meja itu, terletak secawan kopi yang seolah-olah menyimpan rahsia besar. Wajah Cikgu Farid kelihatan mendung, berkerut seribu.

"Kopi saya... kenapa rasanya begini? Basi!" keluh Cikgu Farid, nadanya penuh kekecewaan.

Hana mendekat, matanya merenung tajam ke dalam cawan itu. Warnanya pudar, tidak sepekat kopi kegemaran cikgu selalunya. Ada lapisan buih halus yang menari-nari di permukaan air. Amir, dengan sifat selambanya, mendekatkan hidung.

"Eee... baunya masam, cikgu. Macam ada yang tak kena," ujar Amir sambil menutup hidung.

Cikgu Farid memandang mereka bertiga dengan penuh harapan. "Hana, Amir, Aina... kalian kan pakar menyiasat. Tolonglah cikgu. Apa yang berlaku sebenarnya?"

Hana tersenyum nipis, sebuah senyuman yang penuh makna. Aina pula sudah bersiap sedia dengan buku notanya. "Kes diterima, cikgu. Biar kami cari jawapannya."


***


Satu demi satu soalan diajukan. Hana bertindak seperti seorang penyiasat profesional, menggali setiap butiran.

"Pukul berapa cikgu bancuh kopi ni?"
"Pukul tujuh pagi tadi." 

"Sekarang dah pukul sebelas. Empat jam berlalu," Hana membuat perkiraan sendiri dalam minda. 

"Cikgu letak apa di dalamnya?" 

"Hanya susu segar. Dan sudu itu... rasanya saya ambil saja dari sinki tadi."

Aina mencatat setiap bait kata itu. 

Sudu kotor? Susu segar? Hana kemudian memandang ke arah tingkap yang terbuka luas. Cahaya matahari memancar tepat ke atas meja, memanaskan ruang itu.

"Amir, cuba rasa suhu cawannya." "Masih suam, Hana."

Aina mencelah, "Dalam keadaan suam begini, bakteria memang suka berpesta."

Mereka membawa sampel kopi itu ke makmal. Di bawah kanta mikroskop, sebuah dunia yang tidak kelihatan dengan mata kasar mula terbongkar. Aina tergamam. 

"Ya Allah... tengok ni!"

"Kenapa, Aina?" Amir sudah menjengah, hampir memanjat meja kerana teruja. "Banyak benda kecil yang bergerak-gerak. Inilah puncanya."

Kembali ke bilik guru, Hana berdiri tegak. Dia memandang wajah guru-gurunya dengan penuh hormat sebelum memulakan bicara.

"Sebenarnya, ini bukan perbuatan sesiapa, cikgu. Ini adalah proses alam semulajadi," jelas Hana lembut. 

"Cikgu gunakan susu segar, sudu yang mungkin tidak disteril dengan baik, dan membiarkan cawan itu terdedah di bawah sinaran matahari selama empat jam. Haba yang terperangkap mempercepatkan pembiakan bakteria. Itulah yang mengubah rasa kopi cikgu menjadi masam."

Cikgu Farid mengangguk, seolah-olah baru tersedar daripada lamunan. 

"Begitu rupanya... sains itu memang ada di sekeliling kita, ya?"

"Kes selesai!" Amir menambah dengan nada bangga, memecah keseriusan suasana.

Tawa kecil meletus di bilik guru itu. Namun, belum sempat mereka menarik nafas lega, Cikgu Siti pula muncul dengan wajah kelat sambil memegang bekas kuih kelapanya yang sudah berbau.

Hana, Aina, dan Amir saling berpandangan. Ada senyuman nakal yang terukir di bibir masing-masing. Mereka tahu, tugas mereka belum berakhir.

Petang itu, di bawah bumbung dewan perhimpunan, nama mereka harum disebut. Guru Besar tersenyum bangga melihat kehebatan anak didiknya. Hana memegang mikrofon, suaranya tenang namun tegas.

"Sains bukan sekadar teori di dalam buku. Ia adalah tentang kehidupan kita. Tentang apa yang kita makan, dan bagaimana kita menjaga kebersihan."

Semenjak hari itu, mereka bukan lagi sekadar murid biasa. Mereka adalah Detektif Sains Sekolah Seri Melur. Di mana ada misteri, di situlah ada Hana yang bijak merencana, Aina yang teliti mencatat, dan Amir... dengan deria baunya yang tidak pernah menghampakan.

Dunia mereka kini penuh dengan warna-warni sains, serancak persahabatan yang terjalin erat dalam jiwa remaja mereka.



Pengajaran: Sains mendidik kita untuk berfikir dengan akal yang waras dan meneliti setiap kejadian dengan mata hati, kerana di sebalik setiap perubahan yang berlaku pada sekecil-kecil perkara seperti rasa makanan, tersirat sebuah kebenaran tentang kebersihan dan hukum alam yang menuntut ketelitian kita dalam menjalani kehidupan seharian.

Catat Ulasan

0 Ulasan